Asas Pendidikan ... Pendidikan Asas
Sejak sekian lama, isu pendidikan telah banyak kali dibincangkan di Malaysia. Berbagai hujah dan pendapat telah diutarakan oleh banyak pihak. Namun, pada pemerhatian peribadi saya, tiada banyak yang berubah kearah kebaikan dan kejayaan. Malah boleh dikatakan ianya menjadi semakin teruk dan membimbangkan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berkodi-kodi telah diwar-warkan akan rancangan dan pendekatan kerajaan dalam menyiapkan anak-anak bangsa menghadapi alaf baru serba berteknologi dan juga fenomena globalisasi. Rata-rata apa yang saya telah baca ialah bagaimana teknologi baru telah dibawa masuk ke gelanggang pendidikan. ICT, bistari itu ini dan segala macam mak nenek teknologi canggih lagilah telah diketengahkan. Sering kita mendabik dada bahawa kita telah melengkapkan sekolah anak-anak kita dengan segala macam kemudahan terkini, alatan terbaik, teknologi termutakhir.
Namun, dalam semua itu, apa yang dicapai oleh pelajar anak bangsa negara tercinta masih ditakuk lama, ataupun lebih indah dikatakan sebagai masih jauh dibelakang berbanding dengan yang lain diseantaro dunia. Mengapa?
Setahun dua yang dulu saya pernah berpolimik membina dengan seorang pendidik berpangkat atasan, dan saya akan sekali lagi membicarakan pandangan saya yang sama, yang tidak pernah berubah sejak dari mula saya memijak kaki di pulau inggeris ini kira-kira 11 tahun yang lalu.
Pada pandangan saya, umat Malaysia telah lama terjerumus ke dalam bahana sikap ‘quick fix’ yang lebih mementingkan hasil yang cepat dan dapat dilihat dalam sekelip mata ataupun keesokan harinya (kerana mungkin untuk dicanang dan dimegahkan). Saya rasa semua orang pasti akur bahawa pembinaan asas individu dalam menerokai ilmu itu haruslah bermula seawal usia yang mungkin. Pembentukan asas yang saya maksudkan di sini ialah pembentukan minda dan yakin diri. Ada baiknya kita buat perbandingan mudah.
Jika dilihat di pulau inggeris ini, sejak kecil yakni seawal peringkat tadika lagi, anak-anak telah diasuh dengan yakin diri, banyak bercakap penuh ekspresi, menilai sesuatu dengan minda terbuka. Tidak kisah betul salah, dan salah tidak pernah ditertawakan. Nampak dari kejauhan, anak-anak kecil ini seolah hanya bermain-main di tadika, tanpa ada pengisian ilmu yang ‘sebetulnya’. Aktiviti yang berlangsung begitu merangsang pemikiran walaupun nampak hanya main-main. Dan ini terus berlaku diperingkat awal sekolah rendah. [ Anak-anak di pulau inggeris memulakan darjah satu mereka di tahap umur 5 tahun].
Kalau hendak dibandingkan dengan apa yang diajarkan kepada anak-anak bangsa ditanahair, maka jauh sekali perbezaannya. Secara sepintas lalu, memang nampak begitu maju anak bangsa yang sudah diajar membaca, mengira dan sebagainya. Sedangkan di bumi negara membangun, apa yang diajarkan nampak seolah aktiviti main-main sahaja, rendah tarafnya. Ada pernah saya dengar akan orang yang begitu bangga dengan anak-anak bangsa yang sudah boleh mengira dan menulis di tahap usia begitu muda, sedangkan di negara maju anak-anak mereka masih menyonteng kertas, membuat hasil kraftangan, bercerita dan sebagainya. Hatta di sekolah rendah sekali pun, kalau ada kerja rumah, hanya sekeping kertas sahaja. Itu pun mungkin untuk seminggu dan dihantar paling lewat pada hari Jumaat.
Sebenarnya, apa yang berlaku di dunia maju, ialah mereka berusaha untuk membina asas minda dan yakin diri. Pembinaan asas penting ini bukanlah boleh dibuat dengan tergesa-gesa dan menggunakan isi kandungan yang tinggi dan berteknologi. Tidak perlu menghafal sifir dan menulis karangan untuk membina asas ini. Ianya dibuat secara tidak langsung melalui aktiviti yang secara mata kasar kita nampak main-main itu. Akan tetapi, bilamana seseorang mempunyai asas yang kukuh ini, maka apa jua yang datang dapat ditawan.
Lain pula halnya di negara kita. Dari awal lagi anak-anak kecik diajar dengan pelajaran yang susah. Darjah satu dah diajar mengira itu ini, menulis panjang-panjang, ada ‘comprehension’. Kerja rumah berlambak-lambak sampai anak-anak tidur agak lewat malam meyelesaikannya, dan bukannya satu subjek sahaja, ada beberapa subjek, semuanya ada kerja rumah. Pergi sekolah pun, bawa beg seolah-olah nak pergi bercuti. Jika dilihat pencapaian memanglah hebat. Usia muda dah boleh buat itu ini. Tapi asas minda dan yakin diri tidak ada. Anak-anak pasif, tidak upaya bercakap lebar akan sesuatu hal, tidak berpendapat sendiri, malu-malu, takut dan lesu.
Bukannya kita tidak empunya minda yang hebat-hebat. Di setiap pameran teknologi antarabangsa, pasti ada anak bangsa yang meraih piala. Tapi masyhurkan kita di dunia? Didengar orang dan diambil pakai ke cakap kita? Kita ada menjawat tugas dunia yang tingi-tinggi ke? Tiada…. Sebaliknya, mereka dari dunia Barat (terutamanya yang bertutur bahasa inggeris, bahasa dunia) yang sering jaguh; bercakap itu ini, membawa perbagai idea, teori, pendekapan dan produk terkini penuh berteknologi dan canggih, yang selalunya kita yang begitu cepat ‘membeli’.
Kerana apa? Kerana kita tidak empunya asas pembentukan dan perkembangan minda dan yakin diri. Tanpa asas ini, kita rapuh. Kita mungkin boleh ‘membina’ sesuatu yang agung, tapi sesuatu itu terletak di asas yang goyang dan mungkin tiada asas langsung. Bilamana ada walaupun sedikit angin, maka kita tumbang. Sebaliknya, mereka yang mempunyai asas yang teguh, walaupun hasilnya tidak seagung kita, mereka berupaya menangkis segala pawana yang tiba. Kerana kita terlalu inginkan hasil dalam sekelip mata. Sedangkan orang lain menghabiskan masa yang lama untuk membina asas mereka bagi menanam hasil yang suatu hari akan tiba.
Di sini pun, jika ke universiti dan melihat pencapaian anak bangsa. Mungkin kita empunya ‘meterial’ yang begitu banyak dan beraneka. Kalau ‘presentation’ tu, kitalah yang selaunya memenuhkan dinding dengan lukisan, foto, carta, diagram dan segala macam. Bila bercakap, 5 minit habislah. Bila ditanya, tergagap-gagap menjawab. Ada soalan yang pelik-pelik dan 'dibelit' sedikit, dah gabra sakan tak tahu kat mana nak gagau. Orang lain, boleh datang dengan hanya kertas sekeping bertulis tangan dan bercakap sampai 2 jam; segala hujah ditepis, di-auta, di-ghurmal, dibelit, walaupun terkadang isinya tidak sebaik mana pun (tapi akhirnya orang-orang kita juga yang beli).
Banyak sudah contohnya, apa yang kita agungkan kerana kita telah menggunakan itu ini yang berteknologi terkini tak ada orang lain guna lagi, akhirnya tak sampai 3, 4 bulan, dah tersadai, dah rosak, dah tak diindahkan, dah dibubarkan. Pasal apa? Pasal asasnya kita tidak sediakan. Kita hanya ingin lihat bendanya sahaja, hasilnya sahaja. Boleh kita canang. Banyak sungguh wang rakyat ghaib sejak sekian lama. Sebenarnya, memang orang-orang itu gemar sekali menjual barang-barang mereka kepada orang-orang seperti kita yang senang termakan cakap mereka. Walhal, di negara mereka pun mereka tidak berhasil 'menjual' nya kerana orang-orang mereka mahukan penyediaan asas terlebih dahulu. Penyelidikan, kajian, ujian hendaklah dijalankan terdahulu, agar pembaziran tidak wujud ataupun boleh diminimakan.
Bukan nak mengata orang, tapi saya juga sebegini, kerana saya telahpun ditahap buluh tatkala tiba di sini. Rebungnya saya di tanahair, dan rebungnya saya disuap dan diminta luahkan dikeesokan harinya.
Memang terlalu panjang untuk ditulis segalanya. Tapi hujahnya di sini ialah, selagi mana kita tidak merubah sikap masyarakat dan kandungan pendidikan ke arah pembentukan asas minda yang kritikal dan terbuka serta yakin diri, bukan suapan isi yang membebankan, maka impian untuk maju seiringan hanyalah mimpi di tengah hari. Cemerlang, gemilang, terbilang hanyalah igauan.