2F1
Isu ni dah lama, puluhan tahun dah. Dulu lagi Pulau Temasek ada ura-ura nak bersama di dalam perlumbaan F1, tapi setiap kali isu ini dinaikkan, ianya serta-merta menjadi sepi. Ada cadangan untuk menjadikan perlumbaan di pulau itu seperti di Monaco, dengan menggunakan jalanraya yang sediada. Ada juga cadangan untuk mengadakan perlumbaan di waktu malam. Macam-macam bicara telah dilepaskan sekian lama.... tanpa hasil.Di tahun-tahun 60an & 70an, Singapore Grand Prix merupakan salah satu aksi utama di dalam dunia lumba kereta Asia, dengan menggunakan sebahagian dari Jalan Thompson. Asalnya dikenali dengan nama Malaysian Grand Prix, tapi ditukarnama setelah pulau singa dinyahkeluar pada tahun 1965. Grand Prix ini ditamatkan pada tahun 1972 atas sebab-sebab keselamatan & kesesakan (jalanraya). Akan tetapi, ianya bukanlah F1.
Namun, sejak Msia memasuki alam F1 dengan membina litar di Sepang, singa-singa di pulau selatan tu baru lah nampak betapa ratusan juta yang sepatutnya mereka juga perolehi terlepas begitu saja. Malah, ramai juga rakyatnya yang berbondong-bondong ke Sepang di setiap tahun. Maka baru-baru ini, tatkala perlumbaan pertama musim ini berlangsung di pulau yang lebih besar nun di bawah sana, Raja Temasek telah menghantar utusan untuk bertemu-runding dengan tuan punya dunia F1, Saudagar Bernie... untuk meletakkan pulau singa di dalam empayar lumba beliau. Saudagar Bernie setuju pada dasarnya untuk mengambil kira cadangan para singa, untuk membina satu litar baru di sebidang tanah negara berdekatan dengan Lapangan Terbang Changi.
Maka kecohlah di Semenanjung.... dan kerja-kerja menconteng pun bermulalah di tempat kerja Atok ini.
Di tahun lalu, Maharaja China juga ingin menambah satu lagi litar buat rakyatnya. Sememangnya sudah ada satu di Shanghai, tapi oleh kerana betapa besarnya tanah China, maka difikirkan, rakyatnya di bahagian barat harus diberi peluang yang sama. Maka satu kawasan sawah padi seluas 2.0km persegi di Chongqing menjadi pilihan. Yang ni dah kami dah conteng, tapi sepi je sejak dari itu... samalah juga yang kami conteng untuk Moscow di Nagatino Island, juga sepi. [Moscow telah membuat keputusan untuk tidak menggunakan tapak ini, atas sebab-sebab kewangan dan keselamatan].
Sementara itu, kami di sini terus sibuk dengan kerja-kerja di tapak bina untuk Honda F1, RedBull F1 & Renault F1. Satu lagi pasukan baru yang bakal beraksi di musim depan, Prodrive F1, juga akan mulakan kerja di tapak sedikit masa lagi.