semua komen terdahulu telah ghaib di alam siber, dengan ghaibnya servis 'blogextra' yang digunapakai dahulunya
BEST VIEW WITH MOZILLA FIREFOX. Get it here

Monday, November 28, 2005

"Mari kita tengok siapa yang kenaaaaa....."

Perang 3 ketumbukan di Kkalae Pasea (Pengkalan Pasir) telah pun bermula secara resminya semalam. Dan seperti lumrahnya di negara tercinta, perang seumpama ini dipenuhi dengan segala macam janji dan umpan.

Maka telah pun berjanji satu pihak, bahawasanya sebuah universiti akan dibangunkan di bumi Kilat-kilatan jika rakyat jelata memilih komander mereka; satu keputusan yang dipersetujui setelah dibawa bersidang di kerusi empuk di bilik berhawa dingin.

Jadinya, fahamlah kita: -
1. Perlu atau tidaknya dibangunkan sebuah universiti itu bukanlah bergantung kepada faktor social ekonomi serta keperluan sesuatu masyarakat untuk dididik dan menimba ilmu, tapi kepada siapa mereka sujud dan meng-ghurka-kan diri.

2. Keputusan mencorakkkan pendidikan masyarakat itu terletak bukanlah ditangan ilmuan dan cerdik pandai negara, tapi pada kumpulan menyelok saku rakyat yang bergelak ketawa di meja bulat mengsohori kejayaan rompakan masing-masing.


Minggu lalu, seorang negarawan yang kini menjadi 'anak terbuang meja bulat' telah memomokkan cara para perompak negara bertitah menjawab soalan. Disambut dengan gelak ketawa hadirin di dewan, beliau melakarkan betapa kurang intelek dan dangkalnya ahli meja bulat tanahair.... jauh dibelakang taraf pemikiran hadirin yang terdiri dari pelajar sebuah universiti terkemuka di dunia.

Beberapa bulan yang lalu, telah berlangsung satu sessi pertemuan pelajar dengan seorang Menteri di Jabatan PM di Dewan Msia London. Seorang rakan arkitek telah mengutarakan pertanyaan tentang kesepian industri pembinaan di tanahair. Rakan menambah soalan lagi, apakah strategi pentadbir untuk menyokong para graduan (seperti beliau) yang ingin pulang menyumbangkan tenaga di tanah tercinta jika tiada banyak peluang yang boleh diteroka. Kata Menteri, pentadbiran semasa tidak meletakkan agenda pembinaan di tingkat yang tinggi kerana ianya sudah banyak dilakukan oleh maharaja yang lalu. Tambah rakan lagi, para graduan seperti beliau telah bertungkus lumus di persada pengajian menara gading selama 8 tahun untuk menjadi arkitek berdaftar, tetapi nampaknya tidak berupaya menyumbang kepakaran kerana kekurangan agenda pembinaan di pihak pentadbir. Maka, tambah rakan lagi... jika demikian, lagi eloklah beliau buka restoren untuk menampung hidup; dan disambut dengan tepukan dan gelakkan hadirin di dewan. Jawab Datok menteri, 'mungkin itu yang harus awak lakukan'.

15 tahun dahulu, para petani di bumi Kilat-kilatan bangun di subuh hari dan mendapati subsidi baja mereka telah ghaib bersama bulan yang diangkat mereka semalamnya. Satu keputusan di meja bulat yang bukan berdasarkan keperluan masyarakat, tapi kepada keperluan mereka yang bersidang yang telah kehilangan daerah rompakan.

Beberapa ketika dahulu, Enche Value telah bertitah kepada para marhainnya bahawa jika beliau sekali lagi diletakkan ke meja bulat, maka akan dibinanya akan sebuah jambatan yang indah. Setelah terlaksana impian beliau maka dikerahkan ghurkanya untuk segerakan binaan. Namun setelah gagal mencari sungai untuk direntas, dibinanya akan sebuah jambatan baru yang kukuh lagi perkasa melintasi landasan keretapi untuk ke sebuah kuil ibadat.

Mungkin marhain di Slow Machang juga boleh membuat permintaan yang sama, dan kemudiannya menukar nama kampung halaman kepada Fast Machang, ataupun Deghah Machae.

Hai ubat, hai ubat
Mari beli ubat
Kalau lah terlambat
Tak dapat....

Comments: Post a Comment