Buta dan Cintanya
Kata orang, 'Cinta Itu Buta'. Kerana, kata orang lagi, 'Orang yang bercinta itu membabi buta'.Hingga ke saat ini, talqin politik masih terus dibaca di setiap ceruk media sejak awal senja tadi. Ternyata talqin ini akan terus dibaca hingga ke hari-hari mendatang. Talqin politik Si Buta David Blunkett yang terpaksa melangkah lalu akibat bahana korban cinta.
Seorang ahli politik yang disanjung dan dihormati ramai, oleh kerana kebutaan beliau dan juga cara beliau berpolitik; terus, ikhlas dan lantang. David Blunkett yang dilahirkan dan dibesarkan di Sheffield melalui jalan kehidupan yang sukar; masuk sekolah khas berasrama sejak berumur 4 tahun dan tatkala berumur 12 tahun, ayahnya meninggal trajis setelah masak seluruh badannya bila terjatuh ke dalam kawah menggelegak di tempat kerja. Kehidupan beliau agak susah bersama ibunya yang tidak empunya banyak wang. Mungkin kesusahan inilah yang menebalkan tekad beliau berjuang dalam arena politik pilihan. Pernah Tony Blair berkata di perhimpunan parti, "I don't have the toughest job in this country, David Blunkett does".
Hari ini David Blunkett gugur, bersama cintanya pada isteri orang.... dengan membawa harapan untuk mendekati anaknya yang terhasil dari cinta terlarang itu. Bersoraklah musuh-musuh beliau. Hancurlah cinta si buta; cinta pada kerjayanya, cinta pada khidmatnya, cinta pada masyarakatnya, cinta pada negaranya... atas citanya untuk menggilap cinta pada puteranya. Selamat maju jaya....
Masih segar hangat jejarimu
Waktu ku genggami dahulu
Sambil kita meniti hari kekasih
Dalam lingkaran
Cinta suci
Engkau masih tersenyum malu
Waktu ku kucup di dahimu
Sambil kita bisikkan janji
Kekasih
Tanpa kemunafikan cinta
Tetapi kini
Semuanya tiada lagi
Rindu dan cinta
Jadi mimpi yang menyakitkan
Semua janji
Hancur tiada kesannya
Kau tinggal aku
Bersama hati yang pedih
Kembara tanpa arahnya
Mencari cinta yang hilang
(Kopratasa)